Kawan baik saya kahwin muda. Isterinya 4 tahun lebih tua. Waktu dia masih belajar dan belum punya apa-apa, isterinya itulah yang bekerja di kilang, kirim duit tiap bulan, tanggung makan pakai sampai dia berjaya.
Mereka dikurniakan empat orang anak.
Dari luar, nampak bahagia.
Sehinggalah satu hari, isterinya disahkan barah payudara. Sebelah payu dara terpaksa dibuang demi rawatan.
Sejak itu, layanan suami berubah. Katanya dia sudah “hilang rasa”.
Tidak lama kemudian, dia bernikah lagi dengan gadis 21 tahun.
Yang lebih merobek hati, isteri pertama yang sedang sakit itu diarah keluar dari bilik utama untuk beri ruang kepada isteri baru. Saya nampak sendiri dia campak baju-baju isteri pertama dari balkoni. Anak-anak menangis mengutip baju ibu mereka.
Saya sendiri dengar ayat ini keluar dari mulutnya:
“Kalau nak papa jaga sampai mati, jangan lawan cakap papa.”
Beberapa bulan selepas itu, dia terbang berbulan madu ke Perancis bersama isteri kedua. Pada malam yang sama, isteri pertama sesak nafas. Sebelum ke hospital, dia sempat mencium anak-anaknya.
Dalam perjalanan, dia pesan pada saya:
“Tolong tengok-tengokkan anak saya…”
Di hospital, dia kata pada doktor:
“Tak payah buat rawatan berat… saya dah nak pergi…”
Dan dia pergi. Tanpa suami di sisi.
Ketika jenazahnya dikafankan, anak-anak bertanya, “Kenapa mama tidur kena tutup?” Saat tanah mula menimbus jasad ibu mereka, barulah tangisan pecah. Tangisan yang tak mungkin saya lupa sampai bila-bila.
Buat para suami, ingatlah… isteri bukan pilihan sementara. Dia amanah. Waktu sihat dipeluk, bila sakit jangan dibuang.
Allah tidak pernah lupa setiap air mata yang jatuh. Dan anak-anak akan membesar dengan memori itu tersemat dalam jiwa mereka.
Semoga kita tidak menjadi lelaki yang hanya sedar nilai seorang isteri setelah dia tiada.
Al-Fatihah buat semua isteri yang setia, walau sering tidak dihargai.
Sumber : Rafiq Aziz





















