STATUS KLUSTER COVID-19 DI INSTITUSI PENDIDIKAN
Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan bahawa, daripada 1 Januari 2021 sehingga 25 Mac 2021, sejumlah 811 kluster COVID-19 telah dilaporkan. Daripada jumlah tersebut, terdapat sebanyak 15 kluster pusat pengajian tinggi, 11 kluster sekolah menengah, 10 kluster pra-sekolah dan sekolah rendah, serta lima (5) kluster yang melibatkan pusat tahfiz dan madrasah yang telah dilaporkan dalam tempoh hampir tiga (3) bulan ini. Ini termasuklah tiga (3) kluster baharu yang diumumkan pada hari ini iaitu Kluster Paloh Rambai, Kluster Merinding, dan Kluster Persiaran Maktab.
Bermula 20 Januari 2021, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengumumkan pembukaan semula institusi pendidikan secara bersemuka bagi para pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), termasuk Murid Berkeperluan Khas (MBK) secara berfasa. Pada 1 Mac 2021, pembukaan ini diperluaskan kepada sekolah rendah dan pra-sekolah.
KKM menyambut baik komitmen KPM dalam memastikan para pelajar tidak ketinggalan dan dapat mengikuti pembelajaran secara berterusan dalam keadaan yang selamat. Oleh itu KKM ingin mengingatkan semua pihak terutamanya para pentadbir, para guru, ibu bapa atau penjaga, pengusaha kantin, pemandu kenderaan sekolah, serta para pelajar untuk sentiasa patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah Dalam Norma Baharu.
Nasihat umum KKM perlu sentiasa diamalkan sebelum, semasa, dan selepas waktu persekolahan. Langkah-langkah pencegahan dan kawalan yang boleh diambil di sekolah adalah seperti berikut;
1. Pemakaian pelitup muka pada setiap masa;
2. Memastikan penjarakan sosial para pelajar dan guru di dalam sesebuah bilik darjah, semasa aktiviti di luar bilik darjah, dan semasa pulang dari sekolah;
3. Sentiasa amalkan kebersihan kendiri dengan kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau hand sanitizer serta menjaga kebersihan persekitaran sekolah;
4. Semua warga sekolah perlu memastikan bahawa mereka sihat dan tidak bergejala semasa hadir ke sekolah; dan
5. Bagi sekolah-sekolah dengan pelaporan jangkitan COVID-19 dalam kalangan warga sekolah, KPM perlu mempertimbangkan penutupan sekolah tersebut dengan segera bagi tujuan sanitasi dan untuk mengelakkan penularan jangkitan COVID-19 kepada warga sekolah yang lain.
KKM dengan kerjasama KPM akan sentiasa memastikan aspek kesihatan serta keselamatan warga institusi pendidikan terus diutamakan. Kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan institusi pendidikan adalah kondusif dan selamat untuk pengajian. Ini akan mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 dan juga lain-lain jangkitan.
Graf di bawah menunjukkan bilangan kluster mengikut sub kategori pendidikan.
No comments:
Post a Comment