Tuntutan Berkasih Sayang Sesama Mukmin
عَنْ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى
Daripada An Nu'man bin Bisyir dia berkata; Rasulullah SAW bersabda: "Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal saling mencintai, mengasihi, dan menyayangi bagaikan satu tubuh. Apabila ada salah satu anggota tubuh yang sakit, maka seluruh tubuhnya akan ikut terjaga (tidak boleh tidur) dan panas (turut merasakan sakitnya) ' (HR Muslim No: 4685) Status: Hadis Sahih
Pengajaran:
1. Orang mukmin sesama mukmin adalah bersaudara.
2. Perumpamaan berkasih sayang sesama Mukmin seperti satu tubuh badan. Jika ada anggota badan yang sakit, anggota lain juga turut menanggung kesakitan.
3. Persaudaraan dalam Islam menuntut nilai kebersamaan iaitu saling memerlukan dalam apa jua keadaan. Saat bergembira akan dinikmati bersama begitu juga saat berduka tetap akan bersama mengharungi kesusahan serta keperitannya. Sebagai mukmin, menjadi kewajipan kita untuk saling tolong menolong di antara satu sama lain. Apatah lagi jika mereka memerlukan bantuan.
4. Hak-hak yang lahir daripada persaudaraan diwajibkan kerana iman. Wajib memberikan komitmen terhadap hak mukmin yang lain sama seperti wajibnya menunaikan solat, puasa, zakat dan haji
5. Wajib memelihara hak sesama mukmin dengan tidak menyakiti, menzalimi, mengumpat, memfitnah dan membiarkannya dalam kesusahan.
6. Kejayaan Rasulullah SAW dalam peristiwa Hijrah membina Negara Madinah yang makmur dan harmoni apabila baginda berjaya mempersaudarakan kaum Ansar dan Muhajiran untuk sama-sama bertolong bantu membangunkan Negara Islam Madinah.
Ayuh kita tunaikan hak persaudaraan yang wajib dengan sentiasa berkasih sayang sesama mukmin dan bertolong bantu membina Ummah Sejahtera Yang Berkualiti. Jika memelihara solat, puasa, zakat dan haji itu wajib, menunaikan hak persaudaraan ini juga wajib.
No comments:
Post a Comment