وَالَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ أُولَـٰئِكَ أَصْحَابُ الْجَنَّةِ ۖ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ
“Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh, merekalah ahli syurga, mereka kekal di dalamnya" [Surah al-Baqarah 82]
#Syeikh al-Maraghi di dalam tafsirnya menyatakan bahawa ayat ini menunjukkan orang-orang yang membenarkan Allah dan rasulNya, beriman dengan hari akhirat, melakukan amal soleh, menunaikan kewajipan, meninggalkan segala maksiat adalah orang-orang yang layak untuk memasuki syurga sebagai ganjaran di atas ketaatannya, pergantungannya serta keikhlasannya kepada Allah di waktu sembunyi dan terang-terangan. Ini juga merupakan dalil bahawa iman yang sahih bersama amal soleh merupakan syarat untuk masuk ke dalam syurga" (Lihat: Tafsir al-Maraghi)
#Oleh itu, rebutlah peluang untuk memasuki syurga dengan melakukan amal soleh dengan penuh kesungguhan dan istiqamah.
#Banyak amal soleh yang boleh dilakukan untuk memburu syurga sebagaimana dijanjikan seperti:
1. Bersungguh-sungguhlah dalam berdakwah dan berjuang mendaulatkan agama Allah
2. Melazimi berada dalam majlis ilmu
3. Membaca al-Quran dan mengajarkan kepada orang lain
4. Bersedekah dan membantu golongan yang memerlukan
5. Berpuasa sunat
6. Menjaga silaturrahim
7. Beribadah di malam hari
8. Berkasih sayang sesama makhluk Allah
9. Menjamu makan kepada orang kelaparan
10. Hati bersih dan sejahtera
#Sayidina Muaz bin Jabal r.a berkata: “Saya pernah bersama Rasulullah saw dalam satu perjalanan, suatu pagi aku menghampirinya. Sayidina Muaz bertanya Rasulullah saw (mengenai sesuatu yang lebih baik dari dunia dan isinya): “Beritahukan kepadaku mengenai suatu amal yang akan memasukkanku ke dalam syurga dan menjauhkanku dari neraka". Rasulullah saw menjawab: "Kamu telah menanyakan kepadaku mengenai perkara yang besar, padahal sungguh ia merupakan perkara ringan bagi orang yang telah Allah swt jadikan ringan baginya. Iaitu kamu menyembah Allah swt dan tidak menyekutukanNya dengan sesuatu apapun, kamu mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa di bulan Ramadhan, berhaji ke Baitullah”.
#Firman Allah swt:
وَسَارِعُوۤا۟ إِلَىٰ مَغۡفِرَةࣲ مِّن رَّبِّكُمۡ وَجَنَّةٍ عَرۡضُهَا ٱلسَّمَـٰوَ ٰتُ وَٱلۡأَرۡضُ أُعِدَّتۡ لِلۡمُتَّقِینَ
"Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa" [Surah Aali Imran 133]
♡Jom kita sama-sama perbanyakkan amal soleh dan suburkan iman dengan ketaatan dan ketaqwaan. Semoga kita dipilih menjadi penghuni syurgaNya yang tertinggi. Aamiiin♡
No comments:
Post a Comment