Jadilah Umpama Lebah
Dalam hidup ini, setiap kita menginginkan kehidupan yang membahagiakan. Bahagia pada dirinya dan bahagia juga kepada orang lain.
Setiap kita mengharapkan agar menjadi orang yang berguna dan bermanfaat pada diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Kita lihat kehidupan lebah. Tanpanya kita mungkin tak kenal madu yang terbukti mempunyai pelbagai khasiat.
Rasulullah SAW mengumpamakan mukmin seperti lebah.
عَن عَبْدُ اللَّهِ بْنُ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ أَنَّهُ سَمِعَ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ ....إِنَّ مَثَلَ الْمُؤْمِنِ لَكَمَثَلِ النَّحْلَةِ أَكَلَتْ طَيِّبًا وَوَضَعَتْ طَيِّبًا وَوَقَعَتْ فَلَمْ تُكْسَرْ وَلَمْ تَفْسُدْ
Dari Abdullah bin Amru bin al-As, Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah bersabda….: "Sesungguhnya perumpamaan seorang mukmin adalah seperti lebah, ia makan yang baik-baik, mengeluarkan yang baik-baik, bila ia hinggap tidak membuat dahan patah dan rusak." (HR Ahmad No: 6577)
Lebah sentiasa memastikan makanan yang baik-baik diperolehi daripada pelbagai bunga di sekelilingnya dan dia mengeluarkan kembali dalam bentuk madu untuk manfaat manusia.
Jadilah kita seperti lebah yang bukan sahaja menghasilkan madu malah berperanan secara semulajadi membantu proses pendebungaan bunga-bunga yang dihinggapi olehnya. Sementara itu, apa yang diambil daripada bunga bukan untuk kepentingan dirinya malah untuk memberi manfaat kepada orang lain.
Jadilah kita seperti lebah, mendapat sesuatu dari sumber yang baik, menggunakan dan menyumbang sesuatu yang baik dan bermanfaat kepada manusia lain. Begitulah kehidupan Mukmin, di mana-mana kita berada, kita bukan beban tetapi aset kepada orang lain.
Jika lebah meninggalkan legacy madunya, setiap mukmin perlu berusaha meninggalkan warisan yang unggul (legasi) di mana pun kita berada, dan berlumba untuk meninggalkan kebaikan.
Perlu diingat, kualiti madu yang dihasilkan oleh lebah bergantung pada sumber yang menghasilkan madu. Kita haruslah memastikan ‘sumber-sumber'nya iaitu guru yang mendidik, ilmu yang diperolehi, pentarbiahan yang membentuk diri kita, rakan-rakan seperjuangan yang bersama kita, jemaah yang kita bergabung dengannya.
JOM menjadi perumpamaan seperti lebah. Di mana pun dia hinggap, dia tidak merosakkan pokok malah memberi manfaat kepada proses pendebungaan dan menyumbang legasi madunya.
No comments:
Post a Comment